Jom Salawat



Dipetik drpd status FB seorang sahabat saya... 


Sekadar perkongsian mengenai selawat:

Ustazah Norhafizah Musa dalam satu program di Masjid Bukit Jelutong semalam bertanya, paling banyak berapa kali kita pernah berselawat ke atas Nabi s.a.w dalam sehari dan bila tarikhnya? Saya cuba mencongak2 bilangan selawat saya selama ini. Ratus-ratusan itu jarang-jarang. Ribu-ribuan tidak pernah barangkali..

Pesanan Ustazah, jangan sekali-kali tinggalkan selawat ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w. setiap hari. 

Dari Anas bin Malik radhiallahu ‘anhu, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa yang mengucapkan selawat kepadaku satu kali, maka Allah akan berselawat baginya sepuluh kali, dan digugurkan sepuluh kesalahan (dosa)nya, serta ditinggikan baginya sepuluh darjat/tingkatan (di syurga kelak).” [HR An-Nasa’i No. 1297, Ahmad, sahih.]

Sekali kita berselawat ke atas Nabi, Allah berselawat 10x kepada kita. Apa maksudnya Allah berselawat 10x kepada kita? Maknanya Allah turunkan rahmat 10x ganda ke atas hambaNya. Contohnya Allah permudahkan urusan seharian kita dalam kerja, dalam mendidik anak-anak dan sebagainya. Dalam hidup kita ni, macam-macam masalah yang datang sebagai ujian dan dugaan. Justeru, dengan berselawat ke atas Nabi s.a.w. dapat meringankan ujian dan dugaan yang kita hadapi.

Ustazah berkongsi kaedah bagaimana nak selawat 1000x sehari. mula-mula saya rasa macam impossible sangat nak buat untuk orang yang lemah iman macam saya ni. Rupa-rupanya mudah sahaja jika kita mengetahui caranya. Mengikut kajian yang Ustazah buat, dalam masa 15 minit, kita mampu berselawat antara 300 ke 330 kali. 

Cuba amalkan cara ini selepas Subuh, Maghrib dan Isya' - setiap kali antara 15 ke 20 minit. Tak perlu kira. Hanya selawat mengikut tempoh masa ini. Jadi jumlahnya dalam sehari kita ambil masa antara 45 ke 60 minit untuk berselawat. In shaa Allah jika sentiasa diamalkan begini, kita akan mampu berselawat ke atas Nabi sekurang-kurangnya 1000 kali sehari!

Moga perkongsian ini bermanfaat untuk anda dan saya. Selamat beramal dan moga istiqamah.

Comments