Mengubah Makna Sebuah Kejayaan


Ternyata kita mampu berubah dengan mengubah makna kejayaan untuk diri kita sendiri.

Sejak tiga tahun lepas saya mula mengubah persepsi terhadap sebuah kejayaan. Kejayaan tidak lagi diukur berapa banyak rezeki yang mampu saya miliki. Tetapi kejayaan diukur daripada sudut lain. Akibatnya saya agak perlahan dan tidak berapa aktif di dalam perniagaan internet.

Saya latih persepsi ini dari hari kesehari dan saya jemput sekali dengan isteri saya untuk mengubah pengertian terhadap sebuah kejayaan untuk diri kami sendiri. Dalam masa yang sama saya melihat status-status FB bagaimana setiap orang memberi pengertian sebuah kejayaan untuk dirinya.

Sejak itu saya dan isteri mengukur kejayaan buat diri kami dengan melihat sejauh mana kami mampu istiqamah dan mujahadah dalam mempertahankan kesedaran akan Allah SWT setiap saat hidup ini.

Kami latih agar kami memahami kejayaan buat diri kami adalah berapa istiqamah kami mampu untuk terus melakukan solat dhuha, rawatib, awwabin dan solat-solat sunat di dua pertiga malam. Kami bukan orang yang hebat dalam amalan semua ini. Tapi inilah visi dan misi kami yang menjadikan pengertian kejayaan buat kami berubah.

Kami latih kejayaan buat diri kami dengan berapa banyak kami mampu bersedekah dari rezeki yang kami terima setiap bulan tidak kira samada rezeki setiap kami banyak atau sedikit. Seandainya banyak, kami akan menilai sejauh mana kami mampu sedekah pada nilai yang kami sayang.

Kami latih setiap hari berapa banyak kebaikan yang kami lakukan. Berapa banyak pertolongan yang diberikan. Berapa ramai orang yang kami santuni, hormati dan bahagiakan.

Walaupun kami belum cukup hebat dengan semua ini, masih lagi perlahan-lahan istiqamah dan mujahadah dalam semua ini, namun Alhamdulillah sekurang-kurangnya usaha ke arah mencapai kejayaan ini mula berjalan dan terus berjalan.

Dulu mendirikan solat kerana kewajipan dan Alhamdulillah kini makin mengerti diri ini memerlukan solat dan datang kepada Allah kerana rindu dan cinta kepadaNya.

Dulu mengeluarkan sedekah pada nilai yang tidak kisah dan kini bersedekah dengan nilai yang disayangi kerana keyakinan kepada Allah yang sentiasa memberikan rezeki kepada kami mengikut keperluan kami.

Dulu susah untuk bangun malam atau jika bangun malam adalah untuk mencari duit melalui bisnes internet. Walaupun sebenarnya saya tidak meninggalkan bisnes internet namun usahanya tidaklah seperti dulu. Saya rasa sangat cukup dengan rezeki yang sedia ada malah sangat cukup. Kini seringkali terbangun dan Alhamdulillah sering diberikan Allah kekuatan untuk datang kepadaNya.

Alhamdulillah segala-gala dengan petunjuk dan kekuatan dalam mengejar kejayaan ini. Paling utama saya mula perlahan-lahan berjaya melatih diri saya dan isteri untuk melatih fikiran dan diri ini memahami makna yang terbaik tentang sebuah kejayaan. Kejayaan yang sebenar adalah bertaqwa kepada Allah. Sebuah makna kejayaan yang ramai mengetahuinya namun mungkin ramai yang masih mengejar yang lain lebih dari berusaha mengejar taqwa ini.

BUKTINYA? kita sanggup ke sana sini, sanggup kerja sampai ke malam dan sebagainya semata-mata kerana selain daripada memiliki kejayaan yang besar di sisi Allah iaitu menjadi hambaNya yang bertaqwa kepadaNya. Seandainya kita bertaqwa, kita pasti berusaha bersungguh-sungguh untuk dunia dan akhirat namun tidak sebaliknya iaitu seandainya kita berusaha bersungguh-sungguh untuk dunia, kita belum pasti menjadi hamba yang bertaqwa.

Ini adalah tentang peribadi saya. Melatih diri untuk memahami erti sebuah kejayaan. Sekadar perkongsian. Semoga jalan-jalan kejayaan ini terus dapat saya jalani dengan istiqamah dan mujahadah. Amin.


It is so TRUE.

Comments

Post a Comment