Insaf

MALEK dan Amy ketika menjadi tamu rancangan Selami Jiwa kendalian Dr Fadzilah.


Amy, Malek Noor dedah kesilapan lalu dalam Selami Jiwa 
TIDAK semua insan mampu menyingkap sejarah lalu yang dicalit rona hitam apatah bagi mereka yang cukup dikenali ramai kerana segala pendedahan itu bakal menyelak semula segala nanah kehidupan.

Namun lelaki bernama Datuk Malek Noor dan Suhaimi Abdul Rahman atau panggilan pentasnya, Amy Search, sudah tidak peduli lagi dengan status duniawi itu, kerana mereka nekad mahu berkongsi rasa supaya kesilapan masa lalu dapat dijadikan pengajaran buat semua.

Bukan mahu menunjuk atau mendabik dada diri mereka kini sudah kembali ke pangkal jalan. Namun seperti diakui, platform sebagai figura terkenal cuba digunakan sebaik mungkin bagi mengajak peminat ke jalan yang diredhai Allah. 

Bagai diluah bekas jaguh bina badan negara, kehidupan dulu seakan kosong meskipun dilimpahi kemewahan hingga membawanya merentasi benua dari Hong Kong ke Amerika Syarikat. Kekosongan yang dirasainya itu pula seperti tidak berpenghujung. 

Tanpa berselindung, penama yang enggan dipanggil dengan gelaran berpangkat, mengakui hidupnya berpaksikan keseronokan semata-mata tanpa mempedulikan halal haram. Bersujud kepadaNya jauh sekali biar rezeki tidak putus dikurniakan Allah. 

“Saya pernah leka dan langsung tidak mensyukuri nikmat yang Allah berikan. Alhamdulillah, masih belum terlambat untuk saya kembali kepadaNya. Malah jika masa boleh diputar, saya mahu menjadi muslim sejati dan menjalankan segala kewajipan yang diberikan. 
“Setiap saat saya sentiasa berdoa semoga Allah mengampunkan segala dosa. Dulu saya jahat, langsung tidak ingat mati malah hingga kini saya masih menyesali perbuatan lalu dan tidak putus-putus bertaubat,” katanya dengan suara sebak. 

Bertempat di Studio 1, Astro Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Malek Noor atau nama sebenarnya Abdul Malek Mohamad Noor, 54, diundang bersama Amy muncul menerusi program Astro Oasis, Selami Jiwa, yang dikendalikan Datuk Dr Fadzilah Kamsah. 

Dalam kupasan bual bicara bagi judul Mencari Jalan Pulang, dua selebriti berkenaan menjadi pilihan produksi untuk berkongsi kisah lalu sekali gus menterjemahkan erti penghijrahan berlandaskan pengalaman mereka. 

Sepatah kata hikmat pakar motivasi terkenal itu, kehidupan di dunia dan akhirat harus seimbang kerana tiada guna punya nama besar atau kemewahan di muka bumi namun menjadi ahli neraka kemudian hari dek kealpaan diri. 

“Sekali kita sudah bertaubat dan tidak mengulangi dosa silam, jangan pula kita menghina orang lain. Selami dengan sebetulnya jiwa sendiri supaya dapat mencari jalan pulang yang diredhai Allah Taala kerana ia lebih indah daripada segala-galanya,” katanya. 

Tidak menunggu lama, cerita Malek berkisar pula mengenai penghijrahannya sebagai muslim sejati kira-kira lapan tahun lalu, bermula dengan mimpi didatangi arwah ibu dan bapa, yang membawanya melihat dirinya diseksa selain dibakar dengan besi panas. 

“Sememangnya syurga itu di bawah tapak kaki ibu. Biar pun sudah tiada, mereka mendoakan saya dari sana dan paling saya ingat, ketika itu seminggu sebelum puasa di mana ibu hadir lagi lalu memimpin saya bersujud di depan Kaabah,” ceritanya. 

Pada saat itu, air mata lelaki bertubuh sasa yang pernah merangkul pelbagai anugerah pada peringkat global itu gugur di pipi, apatah lagi tatkala dia menceritakan saat terdengar laungan azan Maghrib di kediamannya yang menghadap Menara Berkembar Petronas lapan tahun lalu. 

“Nyata Allah masih sayangkan hambaNya dan membuka pintu taubat untuk insan khilaf seperti saya. Saya bersyukur dengan kehidupan baru ini. Saya tidak minta orang lain menuruti apa yang saya lakukan, cuma saya ingin berkongsi rasa supaya ia setidak-tidaknya boleh dijadikan pengajaran. 

“Cinta saya kini hanya kepada Allah selepas dua kali gagal dalam kehidupan berumahtangga. Namun saya percaya setiap kejadian punya hikmah tersendiri di sebaliknya,” kata Malek yang masih rancak mengusahakan perniagaan namun pada masa sama turut berceramah. 

'Bakat itu satu tanggungjawab' 

SEMENTARA itu, vokalis Search pula punya kisah berbeza apabila populariti yang diraih tidak mampu melenakan tidurnya atau membuatkan pelantun lagu Isabella itu mampu meneruskan hari tanpa diselubungi rasa was-was dengan kehidupan. 

Jika ditanya, segala kemasyhuran dan kemewahan dikecapi lelaki ini, namun kebahagiaan hakiki bukan miliknya apabila dalam kehidupan berkeluarga Amy kerap menemui kegagalan hinggalah perkahwinan ketiganya dengan Norhasniza Hassan. 

“Saya sendiri tidak mengetahui mengapa hati tidak tenang sedangkan segala-galanya Allah sudah beri kepada saya. Saya inginkan sesuatu hingga saya bertemu wanita pilihan dan mendirikan rumah tangga sekali lagi. 

“Kami bernikah dan tidak lama kemudian dikurniakan anak lelaki seperti yang saya hajati. Pada 2007 saya menunaikan umrah kali pertama dan di depan Kaabah saya bertanya mengapa Dia menganugerahkan bakat seni ini. Akhirnya, saya sedar suara ini sebagai tanggungjawab kepada orang lain,” luah Amy. 

Kembali dari Tanah Suci, dia berhijrah ke fasa yang diredhai Allah kerana yakin itulah pencarian sebenarnya selama ini malah secara tidak disedari, semua dendangannya mempunyai makna tersirat yang menjurus kepada cinta terhadap keagungan Maha Esa. 

“Syukur kerana Allah sentiasa bersama saya. Apabila diuji dengan pelbagai dugaan termasuk ditipu dan dituduh bermacam-macam, saya masih kuat walaupun dulu nyaris berputus asa. Jika wang bertimbun pun, ia belum mampu memberi kebahagiaan sebenar kerana jiwa kita harus mencintai Allah dulu,” katanya lagi. 

Bagi bapa kepada lima cahaya mata itu, kini menjadi kewajipannya untuk mengingatkan orang lain khususnya peminat supaya tidak lupa kepada suruhanNya kerana segala pesona sebagai selebriti sewajarnya digunakan untuk kebaikan bersama. 

“Saya tidak sebaik mana, malah hingga kini saya masih mendalami Islam sepenuhnya dan berguru dengan mereka yang punya ilmu. Jika di hati peminat terdetik untuk mengikuti jejak langkah saya, ia sudah cukup besar, sekali gus menandakan pintu hati mereka sudah terbuka ke arah kebaikan. 

“Malah bukan harta yang saya kejar. Sebaliknya saya takut jika harta semakin melimpah, saya akan lupa daratan. Itu yang paling saya elakkan. Saya tidak mahu Allah menarik balik hidayah yang dikurniakan ini dek kealpaan saya mengejar kebendaan,” kata penyanyi yang sudah menginjak usia 52 tahun. 

SUMBER: Berita Harian Online

Comments