Hidupkan hati

Artikel di bawah inilah yang membuatkan saya berusaha dalam entry saya TIME MANAGEMENT

Kalau boleh saya taknak copy paste any entry orang lain dalam blog saya. TETAPI artikel ini membuatkan saya jatuh cinta dan suka baca tanpa jemu. Kalau boleh saya nak print dan tampal dekat almari  saya supaya saya dapat baca setiap hari. Maybe saya nak buat NOTE dan tulis 5 benda ini MUST achieve setiap hari. 

Solat, Baca Quran, Doa, Sedekah, Solat sunat

Artikel ini lah yang memberi semangat pada saya. Alhamdulillah. So saya mohon share daripada tuan punya blog ini untuk tatapan yang terbaca/membaca blog saya.



Oleh: Hilal Ashraf


Menghidupkan hati. Tidak semudah menghidupkan api pakai pemetik api. Semestinya hendak menghidupkan hati, memerlukan usaha dan pengorbanan.

Hati adalah milik Allah SWT, kematian hati adalah satu perkara yang menakutkan bagi insan yang bergerak mencari keredhaan Allah SWT dalam kehidupannya.

Mungkin ramai tercari-cari, bagaimana hendak melepaskan diri dari lubang dosa, seterusnya membawa diri ke tingkatan yang lebih baik.

Saya punya beberapa langkah sebagai resepi.

Sekadar berkongsi.

Semoga ini memberikan kekuatan kepada yang mencari keredhaan Ilahi.



Perkara basic, jangan tinggal.

Resepi utama dalam menghidupkan hati adalah, menjaga perkara-perkara asas. Di dalam rutin seharian kita sebagai manusia yang beriman, apakah perkara asas?

1. Solat Fardhu.

2. Membaca Al-Quran.

Dua perkara ini, jangan sesekali tinggalkan.

Di dalam seharian, solat fardhu adalah prioriti. Memang kita boleh solat sehingga akhir waktu, tetapi apabila kita me’manja’kan diri kita dengan me’ringan’kan urusan terpenting kita dengan Allah SWT, maka di situ syaitan akan menyusup.

Percantikkan solat fardhu kita. Solat dengan tertib, cuba tingkatkan kualitinya dengan khusyuk, dan rasailah kenikmatan dalam segenap pergerakannya. Jangan laju-lajukan, jangan cepat-cepatkan. Biarkan solat itu flow sendiri, dan kita yang mengikutinya.

Berkenaan dengan Al-Quran. Al-Quran adalah Kalam Allah, mukjizat kepada ummat. Di dalamnya ada penawar-penawar hati, bahkan lenggok aturannya sahaja sudah boleh mendamaikan jiwa.

Maka tetapkanlah dalam sehari, waktu untuk membacanya. Paling kurang dua muka surat sehari. Maka jika anda istqomah, dalam dua minggu anda sudah boleh menamatkan satu juzu’. Ansur maju.

Solat dan Al-Quran, kedua-duanya datang dari langit.

Ia makanan UTAMA kepada roh kita, yang juga berasal dari langit nan tinggi.


Satu lagi perkara penting jangan sekali ditinggalkan ~ senjata insan.

Biasanya, manusia memandang remeh akan hal yang satu ini.

Apakah dia?

Doa.

Ya. Mahu tidak mahu, sekiranya kita mahu menghidupkan jiwa kita, menyalurkan kekuatan ke dalam hati kita, hendaklah kita istiqomah dalam berdoa kepada Allah SWT. Jangan ditinggalkan sesekali. Bahkan buat berkali-kali. Paling kurang setiap kali lepas solat, berdoalah.

Tidak kisah dalam bahasa apa pun. Mintalah kepada Allah.

Sesungguhnya meminta, adalah tanda kerendahan hati kita kepadaNya.

Mengadu kepada Allah akan kelemahan diri. Minta kepada Allah segala apa yang dihajati. Kemudian mendoakan sesiapa yang tersayang di dalam kehidupan ini.


Berikan tambahan-tambahan yang ringan.

Ibarat benteng pertahanan. Sekiranya hendak bertahan lebih lama, perlulah bentengnya lebih tebal. Di dalam dunia yang serba mengasak ini, tiga perkara tadi semata-mata tidak cukup.

Berikanlah tambahan-tambahan yang ringan. Contoh mudah: Solat sunat Dhuha, dan dua rakaat sebelum tidur untuk memohon ampun kepada Allah dan menyuarakan hajat diri kepadaNya.

Perkara lain adalah sedekah. Mungkin boleh disiplinkan diri, menderma seminggu RM1 dan sebagainya.

Begitulah. Ringan-ringan.


Booster dalam menghidupakn hati.

Sesungguhnya, kambing yang keluar dari kumpulannya akan lebih mudah dibaham serigala. Manusia yang bersendiri, lebih mudah sujud kepada berhala. Berhala apa? Berhala nafsu dan dunia.

Maka ini saranan saya yang teramat saya tekankan. Luangkanlah masa duduk bersama orang yang soleh. Carilah rakan-rakan yang baik, yang apabila kamu bersamanya, dia membawa kamu kepada Allah SWT. Banyakkan waktu bersama mereka. Banyakkan perkongsian dengan mereka. Jika ada program-program yang mereka anjurkan, usahakan diri untuk sertai.

Ini akan menambah kekuatan hati, dan memperkuatkan perlindungan di sekeliling diri.


Penutup: InsyaAllah, sekiranya dilazimi, kita akan terasa seperti dilindungi.

Itu adalah perkara-perkara basic. Asas dalam menjaga kesihatan jiwa dan menghidupkan hati. Dalam apa jua peringkat umur, perkara-perkara inilah yang perlu diperhati.

Mulakan dengan yang pertama saya ceritakan tadi. Kemudian tambah dan tambah. Perlahan-lahan.

Sekiranya anda gandingkan artikel ini, dengan artikel Cara Efektif Meninggalkan Dosa, maka anda akan dapat memerhatikan Sinerginya. Percayalah. Usaha meninggalkan dosa semata-mata, tidak akan membawa anda ke mana-mana.

Tetapi anda akan mendapat tolakan luar biasa, apabila anda meninggalkan dosa, pada masa yang sama anda berusaha melaksanakan perkara-perkara di atas ini.

Sekiranya semua perkara asas ini anda lazimi, pastinya anda akan terasa seperti dilindungi.

Comments

Post a Comment